fb fb fb fb fb

Sarawak alu-alukan penerbangan terus dari mana-mana lokasi

Datuk Seri Abdul Karim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Penangguhan Pesta Suntong Bako 2024 di Bako, Kuching.

KUCHING, 5 Jun- Perancangan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak dari mana-mana lokasi termasuk dari China melalui penerbangan terus amat dialu-alukan.

Untuk melaksanakannya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) serta lapangan terbang domestik di Miri, Bintulu dan Sibu perlu dinaik taraf, selain menambah anggota Jabatan Imigresen.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, naik taraf itu perlu berikutan jumlah kemasukan pengunjung ke Sarawak semakin meningkat dan setakat April, negeri itu menerima 1.6 juta pengunjung.

Bagaimanapun katanya, naik taraf hanya boleh dibuat melalui Kementerian Pengangkutan kerana pengurusan lapangan terbang bawah Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Sarawak akan menyediakan data jumlah kemasukan pengunjung.

“Kita melihat mereka yang datang ke Sarawak melalui KIA sudah meningkat begitu ramai tetapi kemudahan tidak setaraf, jadi kita rasa malu apabila dilihat orang luar.

Tapi Alhamdulillah, saya difahamkan bulan Jun tender untuk naik taraf KIA termasuk tandas dan sebagainya akan dikeluarkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rancangan penerbangan terus dari China ke beberapa lokasi di Sarawak termasuk ke KIA.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan satu kajian kebolehlaksanaan sedang dibuat untuk melihat kemungkinan mewujudkan penerbangan terus dari beberapa lokasi di China ke Sarawak.

Setakat ini satu penerbangan akan memulakan penerbangan terus ke Sarawak iaitu dari Yunnan ke Kuching.

Manakala penerbangan Syarikat Penerbangan Xiamen dari Fuzhou ke Sibu dalam kajian akhir.

Terdahulu, beliau merasmikan Penangguhan Pesta Suntong Bako 2024 di Bako, Kuching.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE