KUALA LUMPUR, 8 September - Kerajaan akan menyiasat aduan yang mendakwa terdapat segelintir peniaga menaikkan harga barangan menerusi pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.
“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).
Orang ramai juga digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membolehkan siasatan segera dijalankan.
Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN, iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp 019-848 8000, atau pusat talian 1-800-886-800.
Sejak dilaksanakan pada 31 Ogos, inisiatif berkenaan secara keseluruhannya telah memanfaatkan lebih 11.8 juta rakyat yang membeli barangan keperluan asas, dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.