
KUALA LUMPUR 9 Januari – Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan dilihat sebagai langkah penting dalam membantu rakyat meringankan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah.
- SARA Bulanan bantu ringankan kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah.
- Bantuan perlu digunakan berhemah dan penerima faham hak serta tanggungjawab mereka.
- Subsidi dirasionalisasi untuk jimatkan kos dan salurkan bantuan bersasar seperti SARA.
- Penyaluran bermula 9 Jan; lima juta penerima terima kredit RM50 hingga RM200.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Muhamad Hakimi Mohd Shafiai berkata, bantuan SARA bukan sekadar pemberian, sebaliknya menuntut kefahaman jelas terhadap hak dan tanggungjawab penerima agar matlamat pelaksanaannya dapat dicapai.
“Kerajaan telah menjalankan tanggungjawab untuk mengagihkan hasil negara kepada rakyat, khususnya bagi menangani isu kemiskinan tegar. Namun, bantuan ini perlu digunakan secara berhemah dan tidak disalahgunakan,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Kota Media di sini hari ini.
Menurutnya, penetapan jenis barangan yang layak ditebus juga penting bagi memastikan bantuan digunakan untuk keperluan sebenar, selain mengelakkan pembelian barangan tidak berkhasiat atau tidak perlu.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Hakimi berkata langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan penjimatan diperoleh dan disalurkan semula kepada rakyat menerusi bantuan bersasar, termasuk SARA Bulanan.
“Ini bukan hasil baharu kerajaan, tetapi hasil daripada penstrukturan subsidi yang lebih cekap dan bersasar.
“Keberkesanan bantuan ini bergantung kepada dua perkara iaitu keupayaan kerajaan untuk meneruskan agihan dan disiplin rakyat dalam menguruskan bantuan,” ujar beliau.
Beliau menegaskan, kestabilan ekonomi negara bukan hanya bergantung kepada pengagihan bantuan semata-mata, tetapi memerlukan ekosistem menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berharap penerima SARA Bulanan dapat memanfaatkan bantuan yang disalurkan dengan penuh tanggungjawab supaya ia dapat memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
Program SARA Bulanan akan disalurkan bermula hari ini (9 Januari), dengan beberapa penambahbaikan baharu bagi meningkatkan manfaat kepada penerima.
Penyaluran itu, melibatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, manakala pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang akan bermula pada 16 Jan ini.
Penerima SARA Bulanan, akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan.