SARA bukti bantuan kerajaan lebih inklusif, prihatin keperluan bujang

Foto hiasan

KANGAR, 18 Januari – Golongan bujang kini turut menerima manfaat bawah pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus mencerminkan pendekatan bantuan kerajaan yang lebih inklusif dan menyeluruh, selari dengan realiti kos sara hidup semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan SARA kepada golongan bujang menunjukkan pendekatan bantuan kerajaan lebih inklusif dan prihatin terhadap semua lapisan masyarakat.
  • Bantuan walau kecil seperti RM50 membantu meringankan beban harian, terutamanya untuk keperluan asas dan okU serta ibu tunggal.
  • Langkah ini berpotensi merancakkan ekonomi dan meningkatkan kuasa beli penerima, dengan harapan bantuan dapat dipertingkatkan lagi.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berpandangan peluasan bantuan kepada kategori bujang membuktikan kerajaan tidak hanya menumpukan perhatian kepada keluarga, sebaliknya turut mengambil kira keperluan semasa semua lapisan masyarakat.

Langkah itu berpotensi menjadikan dasar bantuan lebih berkesan serta memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

“Ini dapat merancakkan ekonomi dan meningkatkan kuasa beli rakyat, termasuk golongan bujang, sekali gus membolehkan mereka membeli barangan asas dengan lebih kerap,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tinjauan RTM mendapati penerima bujang, khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal, menyambut baik pelaksanaan bantuan berkenaan yang dilihat mampu mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Seorang penerima, Sharniza Ibrahim berkata walaupun jumlah bantuan tidak besar, ia tetap memberi makna kepada golongan bujang.

“Walaupun RM50, ia amat bermakna buat kami, bukan sahaja untuk keperluan asas, malah keperluan lain yang perlu diutamakan,” katanya.

Zura Saad pula berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban apabila dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan diri dan rumah.

“Beban jadi lebih ringan apabila dapat membeli barangan seperti keperluan mandian dan makanan ringan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Mustaqim Mohamad Hakimi berkata bantuan SARA dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan asas rumah.

“Bantuan ini digunakan untuk keperluan rumah seperti beras, gula dan tepung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Marhaiidatul Syuhaida Azmi berharap bantuan kepada golongan bujang dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

“Golongan bujang juga mempunyai komitmen tersendiri, berbeza dengan isi rumah, dan kami berharap bantuan ini dapat ditambah baik pada masa depan,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan