
BACHOK, 19 Februari – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua beradik yang lemas di Pantai Kandis, Bachok berakhir apabila mangsa kedua ditemui pukul 6.55 pagi tadi.
- Mayat Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, ditemui terdampar 3.7 kilometer dari lokasi hilang dan diserahkan kepada polis.
- Abangnya, Ahmad Badrul Naim, 32, ditemui terdampar tengah hari semalam kira-kira tiga kilometer dari lokasi hilang.
- Kedua-dua beradik dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan anak saudara; hanya kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa, Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21 tahun, ditemukan terdampar pada jarak 3.7 kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.
Menurut beliau, mayat mangsa dijumpai orang awam di pesisir pantai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, abangnya, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32 tahun, ditemukan tengah hari semalam selepas cuba menyelamatkan adiknya.
Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru itu ditemukan terdampar kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada jarak tiga kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Selasa, kedua-dua beradik itu dipercayai ke pantai berkenaan untuk berkelah bersama 20 ahli keluarga lain.
Ketika kejadian, beberapa ahli keluarga dilaporkan mandi-manda sebelum Ahmad Nuruddin dan anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, dipercayai hampir lemas.
Melihat keadaan itu, Ahmad Badrul Naim, bersama bapa kanak-kanak berkenaan bergegas ke laut menyelamatkan mereka.
Bagaimanapun, hanya Mohd Ali berjaya diselamatkan manakala kedua-dua beradik itu dihanyutkan ombak.