
KANGAR, 2 Februari – Syarikat Air Perlis (SAP) akan menukar paip sambungan ke rumah secara berperingkat tahun ini bagi mengelakkan kebocoran paip air berulang selain memastikan bekalan lebih stabil dan cekap di negeri itu.
- Tumpuan gantian paip asbestos dan lama bagi kurangkan kebocoran dan tingkatkan kecekapan bekalan air.
- Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) dilaksanakan secara holistik dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
- SAP sediakan tangki air kecemasan dan aplikasi mudah alih untuk sokongan bekalan dan perkhidmatan pengguna.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAP Nik Nazreen Yusrie Nik Jusoh berkata, masalah kebocoran saluran air di Perlis, didorong penggunaan paip usang yang masih menggunakan asbestos.
“Jumlah keseluruhan paip di Negeri Perlis dianggarkan sepanjang kira-kira dua ribu kilometer. Daripada jumlah itu, sekitar 40 peratus masih menggunakan paip lama jenis simen asbestos.
“Justeru, perkara inilah yang akan menjadi fokus utama dalam Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) secara holistik, yang dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan, dengan penekanan khusus kepada penggantian paip,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Mobile Apps dan Tanker SAP di sini.
Aplikasi mudah alih baharu itu membolehkan pengguna menyemak bil, membuat pembayaran dan aduan secara cepat dan sistematik.
Pada masa sama, SAP menyediakan tangki air baharu bagi kegunaan kecemasan, termasuk gangguan bekalan atau kebocoran luar jangka bagi memastikan bekalan air kepada kira-kira 85,000 pengguna di seluruh Perlis tidak terjejas.