KUALA LUMPUR, 1 Disember- Ketiadaan kerusi untuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Mohd Nor semasa mesyuarat pre-council bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Alor Setar baru-baru ini adalah disebabkan Sanusi tidak terlibat dalam mesyuarat tersebut.
Namun atas keputusan Menteri Besar Kedah untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council itu, Perdana Menteri telah menyediakan kerusi untuk beliau.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menjelaskan, bahawa melalui surat bertarikh 25 November 2023 daripada kementerian itu kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Sanusi dijemput untuk menyertai program lawatan Perdana Menteri bersama Perdana Menteri Thailand ke ICQS Bukit Kayu Hitam yang dijadualkan pada pada 2.15 petang 27 November 2023.
“Jemputan ini adalah berdasarkan kesesuaian penglibatan beliau di dalam program berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.
“YAB Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama YAB Perdana Menteri dan surat bertarikh 25 November 2023 tidak menyebut tentang mesyuarat pre-council ini.
“Apabila YAB Menteri Besar Kedah mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council ini, YAB Perdana Menteri telah menyediakan kerusi untuk beliau.”
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Kedah juga tidak terlibat dalam lawatan ke Sadao, Thailand. Namun bagi memenuhi permintaan beliau di saat akhir, Perdana Menteri telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi Perdana Menteri.
Wisma Putra mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian Luar Negeri dan Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada Menteri Besar Kedah berhubung perkara dinyatakan.
Menteri Besar Kedah semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 29 November 2023 telah mengeluarkan kenyataan mengenai ketiadaan kerusi bagi beliau semasa mesyuarat pre-council bersama YAB Perdana Menteri di sebuah hotel di Alor Setar yang diadakan sebelum bermulanya Lawatan Kerja YAB Perdana Menteri ke Sadao, Thailand pada 27 November 2023.