fb fb fb fb fb

Samun pemandu teksi, dua suspek berjaya diberkas menyorok dalam semak

(Suspek samun pemandu teksi yang berjaya ditahan polis / FOTO POLIS IPD KOTA TINGGI)

KOTA TINGGI, 5 Mac- Tidak sampai empat jam selepas menyamun seorang pemandu teksi di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong, Pengerang, Kota Tinggi, 4.30 petang semalam, dua suspek berjaya ditahan polis di kawasan semak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Hussin Zamora menerusi kenyataannya berkata, kedua-dua suspek berumur 30-an itu menaiki teksi berkenaan dari Gelang Patah menuju ke Pengerang, namun semasa tiba di lokasi kejadian suspek mengacukan pisau di belakang pinggang mangsa.

Seterusnya mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Dalam kejadian tersebut, dua unit telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan jenama Casio yang dianggarkan keseluruhan bemilai RM800 telah dilarikan.

"Dalam tempoh tidak lebih daripada empat jam selepas kejadian, bertindak atas maklumat,sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah berjaya melakukan tangkapan ke atas dua orang saspek di kawasan semak berhampiran tempat kejadian serta turut merampas semula barangan milikmangsa yang disamun,"kata Supritendan Hussin Zamora menerusi satu kenyataan.

Tambah Superintenden Hussin Zamora, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek mendapati terdapat tatoo berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorang suspek disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08.

"Semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 , Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," tambahnya menerusi kenyataan itu.


(Tatoo berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorangĀ 
suspek disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08 / FOTO POLIS IPD KOTA TINGGI)

Media Baharu