fb fb fb fb fb

Sambutan Ulang Tahun TLDM batal, diganti dengan majlis tahlil

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

LUMUT, 23 April- Semua acara sempena Hari Ulang Tahun ke-90 Perbarisan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadual bermula Sabtu ini di Pangkalan TLDM dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Keputusan itu dibuat bagi menghormati anggota keluarga serta waris 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter bertembung pagi tadi.

"Kita batalkan, kita gantikan dengan majlis doa selamat dan tahlil pada Jumaat. Ini atas perkenan juga oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Kapten Kehormat TLDM," katanya dalam sidang media di sini.

Ketika meninjau lokasi nahas, Mohamed Khaled berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa maut di lokasi kejadian iaitu di kawasan kolam renang dan Stadium TLDM di Kompleks Sukan TLDM.

"Seorang anggota tentera yang berada di kawasan kolam renang turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan badan helikopter ketika kejadian.

"Semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dibawa ke Lumut termasuk yang berada di Kota Kinabalu yang akan diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan saya difahamkan ia dijangka tiba petang ini," katanya.

Beliau juga berkata kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat dan jenazah akan diserah kepada waris serta keluarga bagi pengebumian di kampung halaman masing-masing.

Dalam pada itu, TLDM menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI