
JOHOR BAHRU, 1 Februari-Sambutan Perayaan Thaipusam mencerminkan keindahan dan keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta memperkukuh perpaduan dan sikap saling menghormati.
- Thaipusam mempamerkan keunikan masyarakat berbilang kaum Malaysia melalui sambutan berwarna-warni.
- Sokongan kaum lain seperti Melayu dan Cina menunjukkan semangat perpaduan dan penghormatan bersama.
- Perayaan membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor kepada pelancong.
- Gabungan pelbagai perayaan sepanjang tahun menambah daya tarikan budaya unik negara.
Menurut Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan Thaipusam di negeri berkenaan yang turut mendapat sokongan daripada kaum lain termasuk Melayu dan Cina.
Jelas beliau, sambutan itu juga memberi nilai tambah kepada program Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor dalam mempamerkan kepelbagaian warisan dan budaya kepada pelancong luar.
“Kalau kita tengok Malaysia, kita ada banyak perayaan. Kita baru habis Thaipusam, selepas ini Tahun Baru Cina, kemudian sambutan Ramadan.
“Keunikan ini tidak ada di negara lain. Saya cukup gembira melihat sambutan yang begitu meriah dan menyenangkan,” katanya yang ditemui ketika membuat tinjauan sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil, di sini hari ini.