MATA AYER, 29 Januari - Sambutan pelbagai perayaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum menjadi medium bagi memupuk semangat muhibah dan mengeratkan perpaduan merentasi agama dan bangsa di negara ini.
Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini masyarakat Tiong Hua di Perlis gembira dan bersyukur atas kemakmuran serta keamanan dikecapi negara yang membolehkan sambutan perayaan itu diraikan.
Tinjauan RTM sekitar Mata Ayer mendapati, ziarah menziarahi serta penganjuran rumah terbuka menjadi amalan tradisi dalam setiap perayaan yang disambut bersama-sama masyarakat berbilang kaum dan agama.
Bagi Belinda Lim sambutan Tahun Baharu Cina meriah apabila rakan-rakan serta jiran tetangga pelbagai kaum dan agama datang menziarah serta sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dalam penuh kegembiraan.
"Sambutan tahun ini meriah, semua saudara dan kawan-kawan, keluarga balik ke kempung halaman, jadikita makan besar bersama, makan-makan, masak-masak macam, meriah sekali," kata Belinda.
Sementara itu bagi Lim Hooi Choa, dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga tercinta cukup membahagiakan dan menggembirakan apabila semua dapat berkumpul dan meraikan.
"Raya ini semua kawan datang, sangat gembira, macam biasalah semua balik mai, semua kawan datang ok lah tahun ini meriah lah," kata Lim Hooi Choa.
Tahun ular kali ini juga dilihat membawa kebahagiaan dan rezeki yang bertambah bagi masyarakat Tiong Hua apabila dapat berkongsi rezeki dengan kaum lain yang turut meraikan yang membuktikan hubungan persaudaraan dan perpaduan cukup akrab dalam kalangan masyarakat.
Kegembiraan meraikan semangat perpaduan menerusi pelbagai perayaan termasuk Tahun Baharu Cina mampu mengukuhkan keharmonian dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Bagi Siti Berenee Yahaya, menerusi sambutan itu ikatan silaturahim yang sekian lama terjalin dapat terus diperkukuhkan khususnya menerusi amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain.
"Keharmonian dan perpaduan ini kita akan teruskan dari masa ke masa tanpa mengira ideologi politik. Itu yang penting terutama sekali dalam kawasan Mata Ayer yang kita tidak begitu ramai rakan-rakan yang menyambut Tahun Baharu Cina tapi kita tak mengabaikan mereka," kata Siti Berenee.