fb fb fb fb fb

Sambutan TBC meriah, Malaysia-China perkukuh hubungan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Suasana Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah dengan pelbagai kerjasama antara Malaysia-China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama Beijing dan Putrajaya terus perlu dipertingkat meskipun menjangkau 50 tahun hubungan diplomatik. 

"Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, pada hemat saya lebih meriah tahun ini. Apabila ada pertunjukkan dron di KLCC baru baru ini oleh pasukan negara China.

Ia memperlihatkan hubungan 50 tahun diplomatik dengan China, bukan hanya diterjemahkan hubungan kerajaan dengan kerajaan tetapi perniagaan dengan perniagaan juga. Ini dipertingkatkan dengan lawatan rasmi dan lawatan yang dilakukan antara Malaysia dan China," kata Datuk Seri Zahid kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, hari ini.

Mengulas lanjut, Malaysia juga mengharapkan lebih ramai pelancong China menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Untuk tahun Melawat Malaysia 2026, kita harap lebih ramai pelancong negara China. Setakat ini, kita telah memperolehi 3.8 juta pelancong daripada China. Ini diharapkan dapat membantu pertumbuhan ekonomi baik antara Malaysia dan China.

Sementara itu, Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA disambut meriah dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang tiba pada pukul 9.30 pagi disambut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai tuan rumah.

Beliau kemudian bersama-sama barisan kepimpinan MCA ke acara tradisi menggaul "yee sang" sebagai simbol kepada kemewahan kemakmuran dan kesuburan bagi masyarakat Tionghua.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pangajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Terdahulu, lebih 1,000 orang hadir di perkarangan Wisma MCA selain turut diserikan dengan tarian singa, paluan bunyi gendang cina dan mercun.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti mihun goreng, rendang, teh cina, aneka kuih dan limau Mandarin serta persembahan kebudayaan cina.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM