fb fb fb fb fb

Sambutan Minggu Perpaduan, perkukuh patriotisme, hubungan antara kaum

Majlis Perasmian Malam Silang Budaya Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024, peringkat WP Labuan/FB Kementerian Perpaduan Negara

LABUAN, 28 April- Wilayah Persekutuan Labuan menjadi lokasi ketiga Siri Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 selepas Sabah dan Sarawak.

Sambutan Minggu Perpaduan dilaksanakan bertujuan mengukuhkan semangat patriotisme, nilai perpaduan, dan hubungan antara kaum sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI.

Jelajah Kembara Perpaduan merupakan simbolik pergerakan kapsul Sambutan Minggu Perpaduan bagi mengumpulkan hasrat dan harapan Rakyat Malaysia mengikut kluster-kluster di bawah Teras Strategik Kerangka Malaysia MADANI di setiap lokasi.

Hasilnya akan dibawa ke Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang akan dilaksanakan di Negeri Johor pada 23 hingga 26 Mei 2024.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud berkata, antara pengisian minggu perpaduan adalah 'Rumah KAMI', yang mempamerkan rumah etnik-etnik yang ada di Malaysia.

"Kalau di Wilayah Persekutuan ini antaranya Kadayan, India pun ada Brunei pun ada supaya kita dapat sama-sama mengenali adat resam etnik yang berbeza ini”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Silang Budaya Perpaduan, yang berlangsung, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan Esther Dingkawan.

Mengenai Malam Silang Budaya pula, beliau berkata, ia memainkan peranan penting dalam memupuk kefahaman, toleransi dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.

“Dapat dilihat malam ini kegembiraan mereka, mereka meraikan kepelbagaian. Contohnya di rumah etnik. Walaupun gembira pada tahap yang tinggi program seumpama ini kita tetap kena diteruskan untuk mengekalkan kegembiraan dan perpaduan ini”, katanya.

Program turut memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keunikan budaya setiap etnik selain menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, seni dan budaya, ekonomi, kolaborasi dan pertukaran budaya yang membawa impak positif.

Majlis perasmian Jelajah Kembara Perpaduan ini disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa beserta dengan pelancaran Labuan International Sea Challenge, LISC 2024 pada Jumaat lalu.

ROSLINA BINTI DIN