KUALA LUMPUR, 20 Mei- Kementerian Perpaduan Negara memilih negeri Johor sebagai lokasi bagi penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan 2024 peringkat kebangsaan yang bakal disambut pada 23 hingga 26 Mei ini.
Timbalan Menterinya, Saraswathy Kandasamy menyatakan sambutan kali ini mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi baharu yang berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh
sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.
Bertemakan 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian', sambutan Minggu Perpaduan 2024 adalah satu landasan utama bagi program-program yang bervariasi bawah inisiatif utama Kembara Perpaduan.
Program tersebut merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan, dan Komuniti Rahmah, dengan matlamat untuk membina sebuah Malaysia MADANI yang kukuh dan bersatu padu.
"Jadi, Minggu Perpaduan di mana kita meraikan kebudayaan dan cara hidup semua kaum di negara ini serta bagaimana kita boleh menyatupadukan rakyat bawah satu payung iaitu semangat kenegaraan.
"Jadi, semua pengisian program pada Minggu Perpaduan adalah berteraskan kepada tiga konsep ini iaitu Kenegaraan, Perpaduan dan Komuniti Rahmah,"katanya.
Saraswathy berkata demikian dalam rancangan Naratif Khas membicarakan tajuk 'Meraikan Perpaduan Dalam Kepelbagaian' sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024..
Kementerian Perpaduan Negara turut berharap agar Sambutan Minggu Perpaduan dapat menyemarakkan semangat patriotik, taat setia dan perasaan cintakan negara dengan memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi membentuk warganegara yang bertanggungjawab, bertoleransi serta mempunyai jati diri yang kukuh.