
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac terus menjadi platform penting bagi mengiktiraf sumbangan wanita serta memperkukuh usaha memperkasakan peranan mereka dalam pembangunan negara.
- Mengiktiraf sumbangan wanita, menyediakan platform perbincangan isu wanita, dan meningkatkan komitmen kementerian serta agensi melaksanakan agenda pemerkasaan.
- Pendekatan whole-of-government memastikan kerjasama pelbagai pihak untuk pelaksanaan berkesan, merangkumi pendidikan, peluang pekerjaan dan kepimpinan.
- Pelbagai dasar dilaksanakan: lanjutan cuti bersalin, Akta dan Tribunal Antigangguan Seksual, Gender Focal Point serta Program Kasih Nita untuk ibu tunggal.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata sambutan itu turut memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu mengiktiraf sumbangan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan, menyediakan platform untuk membincangkan isu-isu berkaitan wanita serta meningkatkan komitmen kementerian dan agensi kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita secara menyeluruh.
Pendekatan tersebut dilaksanakan menerusi konsep whole-of-government approach yang menekankan kerjasama semua pihak bagi memastikan agenda berkaitan wanita dapat dilaksanakan secara lebih berkesan merangkumi aspek pendidikan, peluang pekerjaan serta kepimpinan.
“Pembangunan sesebuah negara tidak akan memenuhi potensi sepenuhnya tanpa pemerkasaan wanita. Wanita sebagai seorang isteri, ibu dan anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan institusi keluarga yang stabil serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata pelbagai dasar dan inisiatif telah diperkenal kerajaan sejak beberapa dekad lalu bagi memastikan hak wanita terus dipelihara.
Antara langkah penting termasuk pindaan Akta Kerja yang melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada 98 hari bagi memberi perlindungan lebih baik kepada wanita bekerja.
Selain itu, kerajaan turut mewartakan Akta Antigangguan Seksual serta menubuhkan Tribunal Antigangguan Seksual sebagai platform alternatif bagi mangsa membuat aduan dan mendapatkan keadilan.
Bagi memastikan isu berkaitan wanita terus diberi perhatian dalam perancangan dasar negara, peranan Gender Focal Point turut diwujudkan di setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Kerajaan juga memperkenalkan Program Kasih Nita bagi membantu golongan ibu tunggal melalui tiga komponen utama iaitu menigkatkan kesedaran hak perundangan, memperkukuh pengurusan kewangan serta menyediakan akses kepada bantuan guaman kepada mereka yang layak.
Usaha tersebut selari dengan komitmen Malaysia sebagai negara anggota Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang telah dilaksanakan selama lebih tiga dekad.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa diharap dapat terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh peranan wanita agar mereka terus maju dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.