PUTRAJAYA, 14 Februari- Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 akan dianjur pada 8 Mac ke arah pemerkasaan peranan wanita dalam pemangkin kecemerlangan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia mengangkat tema " Wanita Dijulang, Negara Gemilang".
Empat fokus diketengahkan termasuklah inisiatif untuk meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan.
Turut diberi tumpuan, toleransi sifar keganasan terhadap wanita, peningkatan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan penambahbaikan persekitaraan bagi menjamin kesejahteraan wanita.
"Ini yang kita nak fokuskan lagi usaha ini perlu diperkasakan seiring agenda mengarusperdanakan kesaksamaan gender supaya saling melengkapi seterusnya akan membuka lebih banyak ruang bagi mencapai inklusiviti untuk wanita," kata Nancy kepada pemberita dalam sesi Taklimat Media Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini.
Turut dilancar, logo Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
Sambutan yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre (SPCC) di Petaling Jaya, Selangor pada 8 Mac ini.