fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Radio Sedunia disiarkan secara langsung dari Bukit Bendera

Persediaan penyampai radio untuk menyambut Hari Radio Sedunia pada 13 Februari di Bukit Bendera

GEORGE TOWN, 10 Februari- Sambutan Hari Radio Sedunia 2025 bakal disiarkan secara langsung menerusi Selamat Pagi Malaysia dari Bukit Bendera, menyaksikan Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi sambutan setiap 13 Februari itu dengan bertemakan Radio dan Perubahan Iklim.

Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Pulau Pinang, Ts Nor Hisham Abbas berkata, pihaknya kini di peringkat akhir persiapan dan setakat ini semuanya mengikut perancangan.

"Persiapan kita telah mencapai 90 peratus cuma kita menunggu pada hari pelancaran Hari Radio Sedunia pada 13 Februari ini yang akan diadakan di Bukit Bendera.

"Ini merupakan satu benda yang lain daripada yang lain kerana kita menggabungkan semua teknologi terkini untuk menjayakan program ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan penyampai radio RTM dari seluruh Malaysia di Jalan Burmah pagi tadi.

Pelbagai program dijadualkan sempena sambutan Hari Radio Sedunia antaranya rakaman drama khas radio dan pantun oleh penyampai radio serta program khidmat masyarakat bersama-sama pelatih kurang upaya penglihatan di St. Nicholas Pulau Pinang,

Satu konsert khas sempena Hari Radio Sedunia akan turut diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 14 Februari pukul 9.00 malam.

Antara penyanyi terkenal tanah air yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Zainal Abidin, Ella dan Baggio.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI