fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Jantung Sedunia : 1,000 warga Kuching sertai acara 'Walk A Mile'

Dr Sim dan Hilmy menyempurnakan acara pelepasan 'Walk A Mile' di Taman Perpaduan, Kuching / FOTO RTM

KUCHING, 29 September- Lebih 1,000 warga bandaraya Kuching menyertai acara jalan kaki 'Walk A Mile' sempena Hari Jantung Sedunia 2024 yang berlangsung di Taman Perpaduan pagi tadi.

Acara yang bermula seawal 6.00 pagi itu turut disertakan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pemeriksaan kesihatan oleh pihak Pusat Jantung Sarawak jualan barangan Persatuan Jantung Sarawak dan cabutan tiket bertuah.

Manakala acara pelepasan jalan kaki disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Prof Dr Sim Kui Hian bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.

Terdahulu dalam ucaptamanya Dr Sim turut mengingatkan hadirin tentang pentingnya penjagaan kesihatan jantung yang menjadi pembunuh utama di dunia dengan 20.5 juta kematian setahun.

Katanya, seiring dengan pertambahan usia, adalah wajar untuk semua pihak mementingkan penjagaan kolestrol, darah tinggi dan kencing manis yang boleh menyumbang kepada beberapa penyakit kronik lain yang boleh dicegah.

Program tersebut antara lain adalah bertujuan mengumpul dana untuk membeli peralatan unit kardiologi Hospital Bintulu untuk kemudahan penduduk di bahagian utara Sarawak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE