KUCHING, 1 Mac - Jawatankuasa kerja utama bagi menyelaras sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri tahun ini telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah.
Jawatankuasa tersebut bersama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah telah bermesyuarat hari ini bagi membincangkan persiapan sambutan untuk memastikan kemeriahan sambutan adalah setanding dengan sambutan tahun lepas.
Sambutan yang akan diadakan pada 22 Jun itu akan dianjurkan oleh komuniti Bidayuh di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi akan dijemput sebagai tetamu kehormat.
Sambutan turut akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Roland, selain acara perarakan dan majlis makan malam, sambutan akan turut melibatkan penganjuran bazar Gawai dan karnival Gawai yang akan diadakan pada Mei nanti.