fb fb fb fb fb

Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat kebangsaan diadakan di Sabah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 April- Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 20 April ini di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri Sabah itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, sambutan itu bagi memperkukuh perpaduan dan mewarisi tradisi kebersamaan selain merupakan platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni.

"Perayaan Aidilfitri telah menjadi satu perayaan yang menyatukan hati dan merapatkan ikatan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tradisi rumah terbuka, dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan agama berkumpul untuk berkongsi kebahagiaan dan keceriaan, telah menjadi satu kebiasaan yang diwarisi dari generasi ke generasi," katanya.

Sambutan Aidilfitri yang bertemakan 'Perpaduan Melalui Perayaan' itu wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh rakyat Malaysia serta dijadikan teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.

Aaron berkata majlis itu turut menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang akan disambut pada Mei depan, dan orang ramai dijemput beramai-ramai memeriahkannya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI