Salam Unity Explorace pupuk perpaduan melalui warisan negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Program Salam Unity Explorace 2026 menghimpunkan masyarakat berbilang kaum menerusi aktiviti interaktif yang menekankan nilai perpaduan dan keharmonian di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Salam Unity Explorace 2026 mengumpulkan masyarakat berbilang kaum melalui aktiviti interaktif di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
  • Inisiatif ini memperkenalkan institusi warisan negara kepada generasi muda menerusi konsep pencarian harta karun yang memerlukan kerjasama rentas kaum.
  • Acara diserikan dengan forum kesejahteraan mental yang menekankan kepentingan kesihatan mental, kecerdasan dan empati budaya.
  • Penganjur berharap program menjadi acara tahunan untuk memperkukuh perpaduan nasional dan kesedaran tentang sejarah serta warisan.

Program anjuran Yayasan Salam dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia itu turut disokong Memorial Tunku Abdul Rahman Putra serta Pengakap Kuala Lumpur, sekali gus membuka ruang kepada peserta mengenali sejarah negara secara lebih dekat dalam suasana santai.

“Kami melaksanakannya kerana perpaduan perlu sentiasa diusahakan bagi mencapai keharmonian dalam masyarakat. Yayasan Salam sudah 30 tahun diwujudkan dan kini kembali menganjurkan aktiviti perpaduan. Kami amat menghargai kerjasama Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Arkib Negara dalam menjayakan program ini,” kata Pengerusi Yayasan Salam, Datuk Yong Soo Heong.

Salam Unity Explorace 2026 dilihat sebagai platform berkesan memperkenalkan institusi warisan negara kepada generasi muda melalui konsep pencarian harta karun yang memerlukan kerjasama rentas kaum dan latar belakang.

“Program ini bukan sekadar mempromosikan Memorial Tunku kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, malah memperkenalkan institusi penting negara yang berkait rapat dengan tokoh Bapa Kemerdekaan dan Bapa Perpaduan. Memorial ini dibuka kepada orang awam sejak 1994,” katanya.

Selain Explorace, program turut diserikan dengan forum kesejahteraan mental yang menyentuh kepentingan kesihatan mental di tempat kerja serta aspek kecerdasan dan empati budaya, selari dengan matlamat memupuk masyarakat yang lebih harmoni dan saling memahami.

Penganjur berharap Salam Unity Explorace dapat dijadikan acara tahunan berskala lebih besar pada masa hadapan sekali gus memperkukuh semangat perpaduan nasional serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan sejarah dan warisan negara.