fb fb fb fb fb

Saksi penting dijangka menyokong permohonan Najib untuk tahanan di rumah

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR, 4 April- Seorang saksi penting dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan kebenaran Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar, mengenai wujudnya satu dekri tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas perdana menteri itu menjalani baki enam tahun penjara bawah tahanan di rumah.

Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Amarjeet Singh bahawa saksi berkenaan kini berada di Mekah untuk 10 hari terakhir Ramadan.

"Saya memohon penangguhan hingga 17 April ini selepas individu itu pulang ke tanah air selepas Hari Raya Aidilfitri untuk menandatangani afidavit sokongan berkenaan," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden tidak membantah terhadap perkara itu.

Hakim Amarjeet kemudian membenarkan permohonan peguam senior itu dan mengarahkan supaya hujahan bertulis difailkan pada 15 April.

Sebelum ini Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI