fb fb fb fb fb

Saintis Malaysia diiktiraf dalam sains iklim global

Nik Nazmi Nik Ahmad / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menekankan usaha melibatkan saintis Malaysia secara aktif dalam penyelidikan dan dasar iklim antarabangsa.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kepakaran saintis tempatan, termasuk penyelidik muda merupakan teras kepada penyelesaian global terhadap cabaran perubahan iklim.

“Hari ini, saintis iklim di bawah Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mempunyai peluang luar biasa untuk berkolaborasi dengan saintis Malaysia.

"Mereka adalah inovator dan pemikir yang bakal membentuk hala tuju global sains iklim pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Simposium IPCC bertemakan “Merapatkan Sains dan Dasar Iklim untuk Mempercepatkan Tindakan” di ibu negara.

Nik Nazmi turut menekankan keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim, merujuk kepada kekerapan kejadian cuaca ekstrem di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau mengambil contoh banjir besar pada November lalu, yang menyebabkan lebih 150,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di sembilan negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Melaka, dan Perlis.

Katanya, kolaborasi saintifik ini bukan sahaja penting untuk membangunkan penyelesaian teknologi tetapi juga untuk membentuk dasar yang lebih efektif dalam menghadapi cabaran iklim global.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN