IPOH, 19 Mac - Sebanyak RM55.33 juta disumbang Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) kepada kerajaan negeri sepanjang tahun 2023.
Sumbangan itu hasil kecemerlangan dicapai SADC melalui prestasi kewangannya yang merekodkan pendapatan RM794.8 juta sepanjang tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan meliputi segmen Pulangan Tahunan Kepada Kerajaan Negeri (PTTKN), Agihan Ladang Rakyat & Ladang Untuk Rakyat, Sumbangan Pelbagai Program Rakyat dan Program Pembangunan Usahawan Perak.
"Daripada keseluruhan sumbangan, jumlah terbesar disalurkan oleh Perak SADC adalah melalui pulangan tahunan kepada kerajaan negeri sebanyak RM20 juta. Ini dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi implikasi dan manfaat berterusan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Perak SADC, di Ibu Pejabat Perak SADC, di sini.
Tambah Saarani, Perak SADC juga turut memperuntukkan RM4.77 juta yang memberi manfaat kepada 1,129 usahawan khusus dalam bidang pertanian sepanjang tahun lepas.
Ini meliputi pinjaman tanpa faedah, geran usahawan asnaf, Agrofest serta Program Pemberdayaan Usahawan Wanita dan pelbagai penganjuran bengkel serta kursus bagi pemantapan perniagaan usahawan.