fb fb fb fb fb

Sabah peruntuk RM7.5 juta salur bekalan air kepada 58,080 keluarga di 12 daerah

Ketua Menteri Sabah , Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

KOTA KINABALU, 27 Mac- Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta bagi menjayakan misi menyalurkan bekalan air bersih kepada 58,080 keluarga di 12 daerah di negeri ini yang terjejas akibat cuaca panas dan kemarau.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Beliau berkata penyaluran merangkumi 355 kampung, manakala Jabatan Air Negeri Sabah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas berkenaan sedang mengagihkan air kepada penduduk dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lepas dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Ujar Hajiji, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah mengesyorkan operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan terjejas akibat cuaca panas dan kering bermula esok hingga Sabtu ini.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan. Kos ditanggung NADMA, manakala METMalaysia menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal,” katanya.

Beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.
.
Tambah beliau, Kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Katanya, peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih; 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 3,800.9 hektar di negeri ini, dengan daripada jumlah itu kebakaran kira-kira 3.46 hektar kawasan di tapak pelupusan sampah Kayu Madang di sini belum dapat dibendung sepenuhnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI