KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Sabah mencatatkan kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut sejak 2021, dengan jumlah kutipan hampir mencecah RM7 bilion, tahun lepas.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pencapaian itu hasil daripada pemerintahan yang stabil serta pembangunan ekonomi yang pesat di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Kita memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, pembangunan modal insan, infrastruktur, dan kelestarian hijau. Dengan fokus ini, hasil kita meningkat hampir RM7 bilion pada tahun lepas," katanya dalam program wawancara Bicara Naratif Khas, pada Isnin di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Tahun lalu, Sabah mengumpul RM6.973 bilion, meningkat sedikit berbanding RM6.960 bilion pada tahun 2022 dan RM5.449 bilion pada tahun 2021.
Hajiji turut memaklumkan, Sabah akan menerokai satu lagi sumber ekonomi baharu iaitu Ekonomi Biru atau Blue Economy.
Katanya, Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu, dan Laut Celebes, mempunyai potensi tinggi dalam penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu serta produk industri lain.
"Ekonomi Biru bukan sahaja merangkumi sumber marin, tetapi juga melibatkan 14 industri yang boleh dimanfaatkan, termasuk tenaga boleh baharu. Berdasarkan kajian, 75 peratus sumber ini berada di Sabah," katanya.
Inisiatif Ekonomi Biru itu dijangka memberi impak besar bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada penduduk Sabah.
Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah yang dijadualkan berlangsung tahun depan, Hajiji berkata tempoh berbaki ini akan digunakan sepenuhnya untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
"Pilihan raya akan diadakan apabila tiba masanya, tetapi yang penting adalah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita," tambahnya.