fb fb fb fb fb

Sabah agih bekalan air kepada 355 kampung terjejas kemarau berpanjangan

KOTA KINABALU, 27 Mac - Sebanyak 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima manfaat bekalan air secara berperingkat akibat terjejas dengan kemarau berpanjangan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ia melibatkan 355 kampung dalam 12 daerah yang kekurangan air.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta bagi menjayakan misi agihan bekalan air dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air itu ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lepas dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau yang memetik Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengesyorkan agar melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac ini.

"Mereka akan melakukan operasi itu esok di beberapa kawasan di pantai barat dan pantai timur termasuk di Pulau Sebatik.

"Mudah-mudahan pembenihan awan ini dapat dilakukan dengan baik dan akan menghasilkan hujan yang dapat membantu atau menurunkan hujan ke kawasan yang dimaksudkan," katanya lagi.

Menurutnya, operasi pembenihan awan dilakukan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan.

Beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 ringgit kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah untuk keguanaan membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih; 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN