IPOH, 8 Disember - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang Undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 bertujuan mewujudkan panduan, hala tuju tadbir dan pengawasan pembuatan serta pelaksanaan wasiat orang Islam di negeri itu secara lebih berkesan.
RUU itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir ketika proses pengundian RUU berkenaan selepas selesai pembentangan bacaan kali ketiga.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menggulung RUU berkenaan berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan garis panduan yang akan menjadi pelengkap RUU itu sebagai rujukan semua pihak sama ada penyedia perkhidmatan wasiat, orang awam dan pihak berkuasa berkaitan.
"Sukacita saya maklumkan kepada dewan yang mulia ini, RUU wasiat ini digubal dengan begitu tersusun dan merangkumi hampir semua aspek hukum syarak. Ia bukan sahaja menyentuh pembuatan wasiat malah meliputi aspek pembuktian, pelaksanaan dan pendaftaran wasiat selain menggariskan aspek kawalselia wasiat orang Islam," kata Saarani, di sini.
RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 mengandungi 10 bahagian 39 fasal satu jadual.
Terdahulu seramai enam ADUN yang melibatkan kedua-dua pihak mengambil bahagian bagi sesi perbahasan RUU tersebut.