fb fb fb fb fb

RUU URA jamin kekal tanah rizab Melayu - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

ALOR SETAR, 27 Februari- Pemilikan tanah termasuk tanah rizab Melayu, kerajaan negeri dan individu akan kekal terjamin bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan kononnya RUU itu akan menghakis hak orang Melayu adalah tidak benar dan hanya bersifat propaganda untuk mengelirukan rakyat.

Difahamkan terdapat pihak merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan RUU URA, namun Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan berdiam diri terhadap rancangan tersebut.

"Kita bentang undang-undang pembangunan bandar ini untuk memastikan kesejahteraan rakyat, bukan mengkhianati orang Melayu seperti didakwa sesetengah pihak. Lihat sahaja Flat Seri Perlis di Kuala Lumpur -- dibina sejak tahun 1960 dan masih dihuni penduduk miskin dalam keadaan tidak selesa. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, saya tidak akan membiarkan keadaan itu berlarutan," katanya.

Menurutnya, pembangunan semula kawasan bandar memerlukan pindaan undang-undang bagi memastikan projek perumahan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan adil kepada semua pihak.

"Jika ada satu pemilik tidak bersetuju, keseluruhan projek tidak dapat diteruskan dan perlu melalui proses mahkamah. Mahkamah akan menetapkan pampasan, tetapi jumlahnya biasanya lebih rendah daripada nilai hartanah selepas dibangunkan.

"Misalnya, rumah yang asalnya bernilai RM70,000 boleh meningkat kepada RM300,000 selepas pembangunan semula, sedangkan pampasan diberikan mungkin hanya RM150,000," jelasnya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa RUU URA tidak akan mengubah status tanah rizab Melayu atau hak pemilikan individu.

"Kita mahu membantu rakyat dengan memastikan tanah rizab Melayu kekal sebagai rizab Melayu, tanah kerajaan negeri kekal milik negeri, dan tanah persendirian tetap menjadi hak pemiliknya. Malangnya, masih ada pihak yang terpengaruh dengan propaganda yang mengelirukan," katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Penutupan Konvenyen Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata wujud arus perubahan dalam pemahaman terhadap dasar Kerajaan Madani di Kedah, khususnya dalam aspek perpaduan, pembangunan ekonomi, keyakinan pelabur serta pembangunan institusi pendidikan termasuk maahad tahfiz.

SITI AISHAH MD ISA