
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI), masih lagi di peringkat awal penggubalan.
- RUU Tadbir Urus AI masih di peringkat awal penggubalan dan akan melalui libat urus termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen.
- RUU akan memperincikan aspek etika dan akauntabiliti serta isu hak cipta dan pengurusan harta intelek.
- Matlamat RUU adalah memperkasa perlindungan pemilik hak cipta, pencipta, dan pengguna teknologi AI sepanjang kitaran hayat sistem.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebaik sahaja RUU berkenaan siap digubal, satu libat urus akan diadakan termasuk menerusi Jawatankuasa Khas Parlimen.
Ia bagi meneliti dan membincangkan aspek-aspek berkaitan lain yang mungkin tertinggal memandangkan RUU berkenaan merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baharu bagi Malaysia dan kebanyakan negara lain.
Menurutnya, RUU tersebut antara lain bakal memperincikan isu etika dan akauntabiliti, termasuk hak cipta dan pengurusan harta intelek.
Selain itu, RUU berkenaan akan memperkasa perlindungan terhadap semua pihak terlibat, termasuk pemilik hak cipta, pencipta, dan pengguna teknologi AI.
“Cadangan memperkenalkan RUU Tadbir Urus AI bagi saya sangat kritikal, kerana ia meliputi satu aspek yang sebelum ini belum diisi terjawab, iaitu kerangka tadbir urus yang komprehensif, yang sepatutnya melibatkan keseluruhan kitaran hayat sistem AI: pembangunan, latihan, model, pelaksanaan, pemantauan serta pengurusan risiko,” katanya dalam Waktu Pertantaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang ingin tahu bagaimana RUU Tadbir Urus AI menangani isu hak cipta dan harta intelek serta perlindungan hak pencipta dan pemegang hak akibat penggunaan karya tanpa kebenaran.