
KUALA LUMPUR 9 Februari – Kerajaan melalui Kementerian Digital sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini, sebagai langkah menangani ancaman keselamatan digital yang semakin kompleks termasuk manipulasi deepfake.
- RUU Tadbir Urus AI dirangka dengan garis panduan fleksibel untuk kekal relevan terhadap perubahan teknologi.
- Fokus pada akauntabiliti pembangun dan pengurusan risiko proaktif bagi mencegah kemudaratan kepada rakyat.
- Mekanisme pelaporan insiden dan tadbir urus beretika merentas kitar hayat sistem AI untuk tangani deepfake.
- Gubal RUU Jenayah Siber baru, perluasan penguatkuasaan, serta penubuhan Suruhanjaya Data untuk kedaulatan data.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kerangka perundangan yang kukuh dan jelas diperlukan bagi mengawal selia kandungan janaan AI, melindungi integriti maklumat serta memastikan keselamatan keseluruhan ekosistem digital negara terus terpelihara.
“Ancaman digital kini bukan lagi terpencil atau berskala kecil. Penyalahgunaan teknologi seperti AI dan deepfake membolehkan manipulasi imej, suara dan video sehingga kandungan palsu sukar dibezakan daripada yang tulen, membuka ruang kepada penipuan kewangan, pemerasan, sabotaj reputasi dan penyamaran identiti digital,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa RUU Tadbir Urus AI akan dirangka menggunakan pendekatan berasaskan garis panduan supaya kekal relevan, fleksibel dengan perubahan teknologi.
“Antara fokus utama RUU ialah akauntabiliti jelas bagi pihak membangunkan dan melaksanakan sistem AI, pengurusan risiko proaktif untuk mencegah kemudaratan kepada rakyat, mekanisme pelaporan insiden bagi menangani ancaman deepfake secara pantas, teratur dan tadbir urus beretika merentas kitar hayat sistem AI, memastikan pembangunan serta penggunaan teknologi bertanggungjawab,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan turut menggubal RUU Jenayah Siber baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997, termasuk peruntukan khusus berkaitan penyalahgunaan AI, kecurian identiti digital dan kandungan deepfake berniat jahat.
Jelas beliau, tahap penguatkuasaan juga akan diperluas bagi membolehkan tindakan lebih berkesan terhadap jenayah siber merentas sempadan.
Mengulas tentang keselamtan data, Gobind berkata CyberSecurity Malaysia kini sedang memuktamadkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data Nasional 2026-2030 bagi membina keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital negara.
Katanya sebagai langkah proaktif, kementerian juga sedang memperincikan penubuhan Suruhanjaya Data sebagai badan kawal selia bebas untuk memastikan kedaulatan data negara sentiasa terpelihara.
Beliau berkata turut dalam perancangan ialah pembangunan keupayaan forensik digital tempatan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.