KUALA LUMPUR, 29 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan unit rumah ganti yang ditawarkan menerusi pelaksanaan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) tidak akan mempunyai nilai lebih rendah berbanding unit asal.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata RUU tersebut akan memastikan penduduk menerima kediaman baharu yang setara atau lebih baik dari segi saiz, nilai dan kemudahan sekali gus mampu memulihkan taraf hidup di kawasan daif serta memperkasa kekayaan rakyat.
“Penduduk yang bersetuju dengan pembaharuan ini berpotensi menggandakan kekayaan mereka lima kali ganda. Sebagai contoh, nilai rumah asal sekitar RM75,000 kini boleh mencecah RM350,000 selepas pembaharuan.
“Status tanah juga tidak berubah, jika tanah rizab Melayu, ia kekal rizab Melayu; jika pajakan 99 tahun, ia kekal begitu; dan jika pegangan bebas (freehold), statusnya tetap sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai Ekspedisi Pembaharuan Semula Bandar (XPDC PSB) di ibu negara, hari ini.
XPDC PSB merupakan program libat urus melibatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mengadakan lawatan ke empat lokasi utama termasuk Flat Sutera di Selayang dan Flat Kuchai Jaya di Seputeh, yang kini berada dalam keadaan usang dan bernilai serendah RM150,000, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran kawasan sekitar.
Kor Ming turut memaklumkan KPKT telah mengadakan sebanyak 79 sesi libat urus sepanjang dua tahun lalu bersama pelbagai pihak termasuk ahli parlimen, NGO, akademik, persatuan penduduk dan pemaju bagi merangka RUU ini secara menyeluruh dan inklusif.
RUU PSB kini berada di peringkat akhir semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bermula 23 Jun.
Undang-undang tersebut bakal mempercepatkan proses pembaharuan semula bandar terutamanya di kawasan perumahan lama yang tidak lagi selamat, usang serta tidak sesuai untuk didiami.