fb fb fb fb fb

RUU PSB: Kerajaan terbuka terima cadangan, jangan dipolemik - PM

Anwar Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kerajaan bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan atau penambahbaikan berhubung pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan RUU itu bertujuan membela serta menaik taraf kediaman yang telah dibina puluhan tahun lalu di kawasan bandar terutama bagi golongan yang masih tinggal dalam keadaan daif.

"Pada tahun 60-an, kebanyakkan flat dibina dengan reka bentuk satu bilik, satu bilik mandi dan tandas. Sekarang sudah tahun 2025, namun keadaan mereka masih tidak berubah, masih sama.

"Kita perlu mencari jalan penyelesaian -- namun usaha untuk membangunkan semula kawasan ini terhalang oleh sekatan undang-undang. Jadi, kita mahu pinda undang-undang," katanya.

Namun, Perdana Menteri kesal kerana terdapat segelintir pemimpin yang mempolemikkan usaha kerajaan sehingga cuba menghasut rakyat untuk berdemonstrasi.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan mana-mana pemimpin politik agar tidak mengkhianati usaha kerajaan tersebut demi kepentingan rakyat.

"Ada yang bimbang tentang status Tanah Rizab Melayu -- ini pandangan salah dan mengelirukan. Status tanah itu kekal dan tidak akan berubah," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Wakaf MARA MADANI merupakan sebahagian inisiatif direncana bagi memartabat agenda Melayu dan Bumiputera.

Perdana Menteri berkata inisiatif seumpama itu akan mengangkat kekuatan ekonomi Melayu dan Bumiputera, disamping berupaya memberikan kedudukan yang lebih lumayan pada masa depan.

"Dengan kepercayaan bahawa kita kerja sebagai satu pasukan yang kecil-kecil ini akan menjadi kekuatan. Ini bukan satu dalih nak kurangkan dana kerajaan.

"Wakaf MARA MADANI ini menunjukkan bahawa kita dah sampai ke tahap bukan sahaja kita menerima peluang dan peruntukan, kini masa kita menunjukkan kita adalah bangsa yang bermaruah, boleh menentukan masa depan kita," katanya.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA