(Rina ketika program Ziarah Kasih dan Penyampaian Surat Kelulusan Bantuan
kepada V Theanmoli di Dengkil, hari ini)
DENGKIL, 13 Mei - Rang Undang Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata RUU PKS tersebut yang kini di peringkat akhir penggubalan bertujuan memastikan skop pekerjaan bidang terlibat bersifat holistik.
Menurutnya, di bawah RUU ini, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi sekadar memberi bantuan namun lebih profesional dan berterusan.
"Kita nak supaya profesion kerja JKM ini dipertingkatkan sebab apabila dia kerja sosial, contoh seperti kita lihat mereka yang memerlukan bantuan kewangan, tetapi bukan sekadar itu sahaja.
"Melihat juga jika dia mempunyai anak, bagaimana keadaan anak itu. Jadi sebab itu pekerja sosial ini dia boleh membantu keluarga terlibat dengan lebih holistik, itu yang kita nak lihat," katanya.
(Rina ketika ditemui media di Dengkil hari ini)
Beliau ditemui media selepas mengikuti Ziarah Kasih dan Penyampaian Surat Kelulusan Bantuan kepada V Theanmoli, di sini hari ini.
Sejak dua tahun lalu, Theanmoli mengalami masalah pernafasan dan kesukaran bergerak selain menghidap obesiti dan penyakit kencing manis.
Kisah wanita ini mendapat perhatian susulan laporan akhbar tempatan mengenai kesusahan yang dihadapi dalam membesarkan dua anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun setelah ditinggalkan suami sejak empat tahun lepas.