KUALA LUMPUR, 29 November- Rang Undang-Undang (RUU) Pesara dan Bekas Pegawai Polis dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata RUU itu akan memfokuskan isu pembelaan nasib golongan pasukan keselamatan secara menyeluruh.
Ketika ini, RUU tersebut masih dalam peringkat penelitian serta semakan dan akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.
"Ia berfungsi untuk mengawal selia pesara polis dan bekas pegawai polis secara lebih teratur dalam satu entiti di bawah pegawai pengawal kementerian melalui satu punca kuasa yang jelas."
"Oleh sebab itu, RUU Pesara dan Bekas Pegawai Polis dijadikan punca kuasa untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan pendaftaraan pesara polis dan bekas pegawai polis sebagai mengawal persatuan-persatuan pesara polis dan bekas pegawai polis dan ia juga sebagai punca kuasa untuk menjaga kebajikan pesara polis dan polis."
Kita jangkakan pada suku tahun hadapan, kita ada libat urus untuk dibawa kepada jemaah menteri dan dicadangkan pada tahun hadapan untuk dibentangkan di dewan ini," kata Shamsul di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dibangkitkan wakil Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.
Sementara itu, seramai 54,603 pesara polis, bekas polis dan waris pesara atau bekas polis telah berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis (BHEPP), setakat 29 September ini.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan ia melibatkan 44,889 pesara, 3,148 bekas polis dan 6,566 waris pesara atau bekas polis.
"Kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil berat kebajikan dan hal ehwal pesara polis dengan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan demi menjaga keselamatan demi kedaulatan negara dan ketenteraman awam.
Pada masa ini, BHEPP Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pesara polis, bekas polis dan waris pesara/bekas polis yang berdaftar," tambah Shamsul di Parlimen.
Beliau turut memaklumkan antara bantuan yang turut diberikan kepada mereka termasuklah bantuan khairat kematian, pergerakan dan perubatan.
Penjelasan beliau bagi menjawab soalan asal dikemukakan wakil Jeli, Zahari Kechik mengenai langkah proaktif dilakukan oleh kementerian dalam menjamin kebajikan pesara polis seluruh negara.