fb fb fb fb fb

RUU Perlembagaan (Pindaan): PM sifatkan 57 Ahli Parlimen khianat reformasi institusi Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebagai satu pengkhianatan terhadap usaha reformasi institusi Parlimen.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memberitahu bahawa Anwar menegaskan bahawa pindaan tersebut adalah menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara.

"Namun ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

"Dengan dukungan penuh dua pertiga Ahli Parlimen, ini adalah bukti nyata betapa kukuh dan stabilnya Kerajaan MADANI yang kita pimpin," kata Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa.

 

Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini
Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini

Katanya, Perdana Menteri turut menghargai sokongan penuh Ahli Parlimen yang menyokong pindaan ini yang menurutnya akan menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara serta mencerminkan kematangan demokrasi negara.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

GRACE AISYAH KEDAYAN