KUALA LUMPUR, 20 Mac- Dewan Negara meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 menjelaskan dengan termeterainya pindaan Perlembagaan Persekutuan itu, bukan sahaja mengukuhkan kebebasan institusi Parlimen, malah merupakan kejayaan besar dalam reformasi institusi negara.
"Kita serius menunaikan amanah dan janji. Ini juga satu hal, kalau Parlimen sekarang, ia berada di bawah Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri. Namun, Perdana Menteri memilih untuk menyerahkannya kepada sebuah badan bebas.
"Sebab itu, bila kita menyebut reformasi institusi itu, ia kedengaran enak tetapi sukar untuk mendapat Perdana Menteri yang hendak menyerahkan kuasa.
"Namun, kita terpaksa melakukannya kerana ini akan memperkukuhkan semangat," katanya di Parlimen hari ini.
Jelas Anwar, RUU itu membolehkan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibincangkan selama bertahun-tahun diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Sementara itu, Anwar turut menyarankan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membuat pelaburan langsung domestik (DDI) kira-kira RM120 bilion bagi tempoh lima tahun untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Tegasnya, penekanan dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kerajaan bukan semata-mata keuntungan tetapi pendekatan yang disebut 'GEAR-uP'.
"'GEAR-uP', iaitu enam GLIC dan seluruh kekuatan GLIC, melabur sekitar RM120 bilion dalam masa lima tahun (RM25 bilion bagi tahun ini) yang akan menjana pertumbuhan ekonomi selain daripada belanjawan yang telah diluluskan.
"Ini merupakan belanjawan pembangunan yang tertinggi berbanding tahun-tahun yang lalu," katanya lagi.
Jelas beliau lagi, selain RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam bawah program pelaburan sedia ada, pelaburan tersebut turut tertumpu kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).