RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 diluluskan

M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 11 Februari Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 dengan suara majoriti selepas dibahaskan 11 Ahli Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dewan Rakyat meluluskan RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.
  • RUU menyokong ratifikasi Konvensyen PBB mengenai perjanjian penyelesaian hasil pengantaraan.
  • Langkah ini memperkasakan mekanisme ADR dan mengurangkan kebergantungan kepada proses mahkamah.
  • RUU menyediakan rangka perundangan untuk penguatkuasaan dan penerimaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia.

RUU tersebut bertujuan menyokong usaha meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perjanjian penyelesaian yang terhasil daripada pengantaraan atau Konvensyen Singapura, yang telah ditandatangani Malaysia pada 2019.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, langkah itu penting bagi memperkasakan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) tanpa hanya bergantung kepada proses mahkamah.

“Justeru, usaha ini ialah lambang komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menyokong peranan pengantaraan dalam menyelesaikan pertikaian rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Ketika ini Akta Pengantaraan 2012 digunakan bagi menyelesaikan pertikaian domestik seperti tuntutan insurans kemalangan, hal ehwal rumah tangga termasuk nafkah dan hadhanah, fitnah serta pertikaian komersial melibatkan kontrak dan harta intelek.

Meskipun akta tersebut boleh diguna pakai untuk kes antarabangsa, penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan kerana perjanjian yang dicapai hanya mengikat pihak terlibat dan perlu dikuatkuasakan melalui undang-undang kontrak.

Kulasegaran berkata, konvensyen berkenaan menyediakan kerangka kerja harmoni bagi penguatkuasaan serta kebolehterimaan penggunaan perjanjian penyelesaian antarabangsa yang dimeterai pihak terlibat dalam pertikaian komersial.

RUU itu juga akan mewujudkan kerangka perundangan diperlukan untuk melaksanakan kewajipan di bawah konvensyen serta memudahkan penguatkuasaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia, sekali gus menggalakkan penggunaan pengantaraan sebagai kaedah berkesan menyelesaikan pertikaian komersial antarabangsa.