RUU Pemisahan Kuasa dibentang tahun ini – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 5 Januari – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada sesi Parlimen bermula Januari ini, sebagai antara langkah reformasi institusi bagi memperkukuh tadbir urus negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan membentangkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada sesi Parlimen bermula Januari ini.
  • RUU itu dijangka menjadi antara undang-undang terawal dibentangkan sebagai langkah reformasi institusi.
  • Tujuan RUU untuk memastikan fungsi pendakwaan dilaksanakan secara bebas, telus dan berintegriti.
  • Azalina Othman Said sedang memperhalusi RUU Ombudsman untuk memperkukuh akauntabiliti awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU berkenaan dijangka menjadi antara undang-undang terawal dibentangkan.

Katanya, RUU itu bagi memastikan fungsi pendakwaan dapat dilaksanakan secara bebas, telus dan berintegriti.

“Apa yang kita lakukan dalam langkah reformasi institusi di Parlimen, Kementerian Kewangan dan penjawat awam, kita juga lakukan dalam bidang perundangan.

“Sebagai hala tuju sesi Parlimen yang akan datang, tahun ini dan seterusnya, rang undang-undang pertama yang akan dibentangkan ialah undang-undang pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan Datuk Seri Azalina Othman Said, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), sedang memperhalusi RUU Ombudsman bagi memperkukuh aspek akauntabiliti awam.

Menurut beliau, konsep Ombudsman bukan perkara baharu dan telah lama dibincangkan oleh para sarjana, selain dilaksanakan di beberapa negara sebagai mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.