KUALA LUMPUR, 19 Februari- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, ia sekali gus menjadikan Malaysia negara terawal di dunia menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor tersebut.
Beliau berkata ketika ini hanya 15 negara yang telah melaksanakan akta seumpama ini dan langkah meluluskan RUU itu dijangka memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja dalam sektor berkenaan.
"Dalam Parlimen sedang bersidang sekarang ini, kalau semua dipersetujui, kalau semua perkara sudah lulus. Selepas kita tunggu 2019, 2020 dan 2021 dan sebagainya, akhirnya kita telah ada draf terkini Akta Pekerja Gig. Kalau semua dah ok, tiada aral melintang... saya bawa masuk Kabinet, selepas saya bincang dengan kalian untuk mendapatkan kelulusan terakhir undang-undang ini, kemudian saya boleh bentangkan di Parlimen dalam masa mungkin dua minggu dari sekarang", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Awam Bersama Pihak Berkepentingan dan Pemain Industri Berhubung Draft RUU Pekerja Gig 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Tambah Sim, pihaknya juga mengalu-alukan pembabitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam RUU tersebut untuk membantu pekerja gig.
Sesi tersebut melibatkan kira-kira 1,000 pekerja gig daripada pelbagai platform.