fb fb fb fb fb

RUU Optometri dibentang Oktober Ini – Datuk Seri Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA ,17 Jun -Rang Undang-Undang (RUU) Optometri dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Ia sekali gus menjadi langkah pengiktirafan terhadap profesion optometri sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, RUU itu bakal menjadi undang-undang khusus yang mengawal selia seluruh aspek profesion optometris di Malaysia.

"Penting untuk kita mengangkat martabat bidang kerjaya optometri sebagai satu profesion yang aktif dan profesional.

Ini termasuk aspek pencegahan yang betul, latihan yang mantap serta amalan klinikal yang selamat dan berkesan. Optometris bukan sahaja menangani masalah pembiasan seperti rabun, tetapi turut memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan primer termasuk saringan awal penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi melalui pengesanan retinopati", katanya.

Beliau turut mengakui Malaysia masih belum mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu optometris bagi setiap 10,000 penduduk Malaysia.

Keadaan ini menjejaskan keupayaan sistem kesihatan negara dalam memberikan rawatan mata yang menyeluruh kepada rakyat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Mata Primer bagi Profesion Optometris, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pelancaran garis panduan tersebut yang disifatkan sebagai langkah strategik ke hadapan dalam membentuk kerangka amalan optometris yang selamat, beretika dan berasaskan bukti.

Jelasnya, pelaksanaan pembuktian kelayakan dan privileging akan memastikan hanya optometris yang berkelayakan serta kompeten diberikan tanggungjawab klinikal tertentu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD