fb fb fb fb fb

RUU Majlis Media Malaysia dibentang dalam mesyuarat penggal ini

Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Disember- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diluluskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Sekiranya ada masa, ia akan dibahaskan dan dibuat bacaan kedua dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 tahun 2024.

"Jika tidak, ia telah disenaraikan untuk dibahaskan dalam mesyuarat akan datang. Jadi, ia akhirnya berada di landasan yang betul," katanya pada sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di sini.

Pada 27 Mei lalu, Kementeriannya di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jumlah individu yang mendaftar dengan MyDigital ID masih terlalu rendah.

Katanya, setakat semalam jumlah pendaftaran tersebut mencecah 1.319 juta orang.

"Perdana Menteri berpendapat jumlah ini masih terlalu rendah, dan isu berkaitan MyDigital ID mempunyai kaitan langsung dengan keperluan untuk menggandakan usaha ini.

"Perdana Menteri telah memberikan tempoh dua minggu sejak mesyuarat tempoh hari kepada pihak MyDigital ID untuk mengemukakan kaedah meningkatkan jumlah pendaftaran," katanya.

Semalam, Perdana Menteri meluahkan kekecewaan dengan kelewatan serta pelaksanaan dua projek transformasi digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.

Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri mahu pihak Digital Nasional Bhd (DNB) mengemukakan pelan perniagaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sehingga minggu depan.

Menurut Fahmi, arahan itu dikeluarkan semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi.

Beliau berkata, tempoh itu diberikan supaya DNB dapat mengatasi isu-isu berbangkit.

"Pihak DNB juga telah diminta untuk memberikan perancangan perniagaan yang baharu, yang terkini kepada MCMC untuk diteliti bagi isu peruntukan spektrum tambahan. Ini yang diminta oleh pihak DNB," katanya.

Perdana Menteri merasakan isu kelewatan pelaksanaan inisiatif rangkaian 5G kedua perlu diuruskan dengan lebih pantas.

Fahmi berkata, rangkaian 5G pertama dikelolakan oleh DNB, manakala rangkaian kedua pula di bawah kendalian U Mobile.

Tambahnya lagi, sebanyak 267 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir telah pulih dan kembali beroperasi setakat pukul 9.00 pagi tadi, manakala 56 lagi masih belum beroperasi.

Fahmi memaklumkan bahawa sebanyak 323 stesen pemancar komunikasi terjejas akibat banjir di empat negeri, termasuk 264 stesen di Kelantan, 49 di Terengganu, sembilan di Pahang, dan satu stesen di Johor.

"MCMC memaklumkan bahawa 23 PPS (pusat pemindahan sementara) telah dilengkapi dengan Wi-fi percuma.

"Pada masa yang sama, MCMC terus berada pada tahap kesiapsiagaan untuk memastikan isu telekomunikasi dapat ditangani segera sekiranya berlaku insiden seperti banjir pada masa akan datang," katanya lagi.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM