KUALA LUMPUR, 19 Mac- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024).
Ia antara lain bertujuan membuka jalan ke arah media yang lebih demokratik, bebas dan beretika di Malaysia.
Rang undang-undang yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bagi penubuhan Majlis Media Malaysia itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 17 senator.
Jelas beliau satu kod tatalaku perlu diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Media Malaysia bagi menetapkan peraturan tersendiri tanpa campur tangan kerajaan.
“Kita hendak memperkasa majlis media, kita percaya bahawa majlis media boleh self regulate dan oleh sebab itu, kita akan beri kuasa kepada majlis media untuk meluluskan kod tatalaku mereka termasuk prosedur untuk bagaimana mengenali ketidakpuasan hati,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Negara.
Sementara itu, Teo Nie Ching berkata RUU berkenaan memperuntukkan dua wakil kerajaan dalam lembaga MMM.
Ini kerana ia adalah sebuah badan yang ditubuhkan melalui rang undang-undang kerajaan dan dipertanggungjawabkan bawah Kementerian Komunikasi.
"Oleh itu wakil kerajaan adalah wajar berada dalam lembaga majlis untuk urusan kerajaan dan seperti yang telah dijelaskan dalam RUU ini, wakil kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terlibat dalam media industri seperti RTM dan Bernama", katanya.