fb fb fb fb fb

RUU Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentang di Parlimen- Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini beberapa perkara sedang diperhalusi untuk melaksanakan pindaan terhadap beberapa kategori dalam undang-undang sedia ada.

Ini terutama perkara-perkara di bawah Kanun Keseksaan melibatkan penipuan dalam talian ('scam'), judi dalam talian, buli siber serta jenayah-jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Jadi dalam tiga, empat kategori ini... ada beberapa undang-undang yang perlu kita teliti. Macam buli siber sebagai contoh.. waktu ini tidak ada takrifan yang khusus dalam Kanun Keseksaan sebagai contoh.

"Jadi, perkara itu sedang diperhalusi oleh pasukan di bawah Datuk Seri Azalina dengan kerjasama MCMC, kerjasama PDRM supaya kita pastikan takrif buli siber itu sangat jelas," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Ekosistem Pembekal Huawei Malaysia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Sementara itu, Fahmi berkata empat pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) telah mengemukakan bidaan masing-masing untuk mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua, kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Fahmi berkata, beliau menyerahkan budi bicara mengenainya kepada MCMC.

Beliau menjelaskan, keputusan bagi penawaran pelaksanaan rangkaian 5G kedua itu dibuat berpandukan kepada bidaan yang telah dikemukakan oleh setiap MNO.

Empat MNO tersebut ialah CelcomDigi Berhad, Maxis Bhd, U Mobile Sdn.Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

"Kita jangkakan dalam jangka masa yang tak terlalu lama (keputusan akhir)...saya belum lagi mendapat maklumat daripada pihak MCMC...mereka yang uruskan.

"Insya-Allah, sama ada pihak kementerian ataupun MCMC yang akan umumkan..jadi, kita biarkan proses itu berjalan dahulu. Kita jangka dalam tahun ini 'to finalize' (untuk memuktamadkan) dan kita boleh umumkan," kata Fahmi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Google untuk menurunkan ciri graf pertukaran nilai mata wang ringgit seperti yang didakwa oleh seorang pengguna di platform X.

"Saya tidak pernah mengarahkan Google menurunkan apa yang disebutkan sebagai 'foreign exchange tool' atau widget bila kita buat carian di Google..dalam Google itu sendiri kita boleh dapatkan maklumat pertukaran wang asing.

"Namun kita perlu ingat pada bulan Mac lepas berlaku satu insiden mengenai percanggahan maklumat daripada pemberi data kepada Google, yang berbeza dengan apa yang dirakam di Bank Negara," katanya.

Google sebelum ini memaklumkan bahawa sejak Mac hingga kini, terdapat beberapa perkara yang sedang diteliti dengan pemberi data, selain belum berpuas hati dengan tahap ataupun keyakinan yang mereka ada.

Terdahulu, tular di platform X kenyataan seorang pengguna mendakwa Fahmi telah memberi arahan kepada Google untuk menurunkan widget tersebut, yang mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM