KUALA LUMPUR, 5 September - Kerajaan komited menangani kes jenayah siber yang semakin membimbangkan di negara ini.
Susulan itu, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan dalam di Parlimen pada Oktober ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan diperhalusi oleh pejabat peguam negara sebelum dibawa ke kabinet.
"Dalam hal ini, kita merasa sangat prihatin terhadap mangsa buli, mangsa scam, dan beberapa aspek jenayah akan dilihat melalui akta ini.
"Kita akan melihat beberapa aspek dari segi jenayah yang mungkin tidak berlaku sekarang, tetapi ada beberapa perkara tertentu yang kita unjurkan mungkin akan berlaku dalam dekad-dekad mendatang.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azalina atas inisiatif beliau, yang berada di barisan hadapan dalam memastikan akta baharu ini dibentuk demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia, meliputi setiap lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabtan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo.
Sebelum ini, Berita RTM melaporkan pempengaruh A. Rajeswary, yang juga dikenali sebagai Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak pada 5 Julai lepas.
Mangsa dilaporkan meninggal sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.