KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) hanya menerima aduan secara bertulis dari mana-mana pihak berhubung salah laku anggota polis.
Demikian penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said ketika menggulungkan Rang Undang-Undang IPCC 2020.
"Tujuan peruntukan ini mewajibkan membuat aduan dalam bentuk bertulis untuk menyekat aduan tak berasas serta memastikan aduan sahih dalam kalangan pengadu selain mengelak pembaziran melibatkan sumber manusia dan kewangan untuk menyiasa aduan yang tidak berasas," katanya pada sesi penggulungan perbahasan di sini, hari ini.
RUU IPCC 2020 digubal dengan menitikberatkan prinsip-prinsip keadilan di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Ia memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Bagi membolehkan siasatan ke atas aduan yang diterima oleh IPCC dijalankan secara inklusif dan komprehensif, wakil daripada SUHAKAM boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC terutamanya bagi kes kematian dalam tahanan.
(Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said/FOTO BERNAMA)
Matlamat RUU yang dicadangkan adalah untuk mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.
Pada 26 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan berhubung aduan tatakelakuan anggota polis.