fb fb fb fb fb

RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 diluluskan di Dewan Rakyat

Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 bertujuan mewujudkan suatu mekanisme berkesan bagi pengurusan kes-kes insolvensi rentas sempadan.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut bertujuan menyediakan perundangan yang jelas dan berkesan bagi pelaksanaan prosiding insolvensi rentas sempadan di Malaysia

Beliau berkata, perkara itu dapat membantu pelabur untuk mengetahui jangkaan untuk berdepan dengan apa jua risiko kewangan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk membuat pelaburan dan mengembangkan perniagaan di Malaysia.

"Usaha penggubalan RUU ini merupakan komitmen berterusan kerajaan terhadap reformasi undang-undang dan tadbir urus ekonomi yang progresif, serta menyokong matlamat jangka panjang negara dalam menarik pelaburan langsung asing dan memperkukuh kestabilan ekonomi negara.

"Perundangan insolvensi di Malaysia juga perlu bergerak seiring dengan cabaran dan kehendak globalisasi," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini di Dewan Rakyat.

Dengan mengiktiraf prinsip-prinsip standard global seperti Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI), Malaysia akan lebih diyakini oleh pelabur asing dari segi kejelasan, ketelusan dan keberkesanan penyelesaian pertikaian rentas sempadan berkaitan insolvensi.

Insolvensi rentas sempadan dalam konteks syarikat korporat merujuk kepada prosiding insolvensi yang dibawa terhadap syarikat korporat yang mengalami krisis kewangan dan tidak berkemampuan untuk membayar hutangnya, dan mempunyai pemiutang dan aset di lebih daripada satu negara.

RUU itu menggalakkan kerjasama rasmi antara mahkamah dan pihak berkuasa pentadbiran insolvensi di Malaysia dan negara asing, yang sebelum ini hanya bergantung kepada prinsip 'comity'.

"Ia menyediakan kepastian undang-undang kepada pelabur dan pihak berkepentingan dengan menetapkan prosedur jelas berkaitan pengiktirafan prosiding asing, akses mahkamah dan pemberian 'relief'.

"RUU ini menyokong usaha penyelamatan perniagaan yang masih berdaya maju, seiring dengan pindaan terkini kepada Akta Syarikat 2016, seterusnya melindungi pelaburan dan pekerjaan rakyat," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI