RUU Had Tempoh PM dan Pengasingan Peranan AG–Pendakwa Raya: Perkukuh integriti institusi, perjelas pemisahan kuasa

RUU Had Tempoh PM dan Pengasingan Peranan AG–Pendakwa Raya: Perkukuh integriti institusi, perjelas pemisahan kuasa.

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Usaha kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh sistem demokrasi dan tadbir urus negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bagi memperkukuh semak dan imbang serta hadkan kuasa eksekutif.
  • Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memastikan pendakwaan bebas tanpa campur tangan politik.
  • RUU mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh integriti institusi, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negara.

Agenda reformasi institusi yang digariskan kerajaan MADANI terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pakar perundangan yang menyifatkan pindaan tersebut sebagai perubahan besar dalam landskap pentadbiran negara.

Peguam, Surendra Ananth, berpandangan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan satu langkah yang baik ke arah memperkukuh prinsip semak dan imbang.

“Saya juga rasa perlu dilakukan adalah bahawa badan atau institusi yang melantik pendakwa raya perlu sepenuh-penuhnya bebas daripada eksekutif. Contohnya satu jawatan kuasa yang ditubuhkan oleh parlimen. Ini adalah untuk pastikan bahawa pendakwa raya boleh melakukan tugasnya dengan penuh bebas dan tanpa apa-apa campur tangan langsung”

Jelasnya, kepentingan memastikan institusi pendakwaan benar-benar bebas bagi menjamin keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang campur tangan.

Sementara itu, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, menyifatkan kedua-dua pindaan tersebut sebagai reformasi yang mendasar dalam sistem demokrasi negara.

“Kedua-dua rang undang-undang pindaan perlembagaan ini adalah sesuatu yang mendasar yang memberi impak yang besar ke atas sistem pentadbiran negara. Contoh RUU pindaan perlembagaan yang melibatkan pengasingan pejabat peguam negara dan juga pendakwa raya ini adalah sesuatu yang besar kerana Seperti yang kita tahulah ia memerlukan pindahan perlembagaan dan ia merupakan satu reformasi kepada struktur hal berkaitan dengan perundangan negara.”

Tambahnya, langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pula merupakan satu pembaharuan fundamental dalam amalan demokrasi negara yang mampu menjadi panduan jelas kepada generasi akan datang berhubung batas kuasa kepimpinan tertinggi negara.

Secara keseluruhan, kedua-dua RUU berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh integriti institusi, memperjelas pemisahan kuasa serta memastikan sistem pentadbiran negara terus bergerak ke arah lebih telus dan berakauntabiliti.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Azalina berkata, bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadualkan pada minggu berikutnya.

Pada 31 Januari lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Datuk Seri Anwar sebelum ini dalam Amanat Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan sebagai sebahagian daripada langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan.