
PUTRAJAYA, 4 Mac – Proses meneliti cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memasuki fasa baharu dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi memperhalusi rang undang-undang (RUU) tersebut.
- Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk memperhalusi rang undang-undang pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Jawatan kuasa dipengerusikan oleh Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
- Proses rundingan dan pengumpulan maklum balas dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Datuk Seri Azalina memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa rang undang-undang itu akan dibincang pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas pada 16 Mac ini.
“Dijangka proses untuk meneliti pandangan, mengumpulkan maklum balas, serta usaha untuk menambah baik rang undang-undang tersebut akan mengambil masa sekitar tiga bulan,” katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media mingguan di sini.
Menurut Datuk Fahmi, tempoh itu penting bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh termasuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Langkah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem perundangan negara dan memastikan prinsip pemisahan kuasa dilaksanakan secara lebih jelas dan berkesan.