KOTA TINGGI, 13 Mei - Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti merupakan langkah progresif kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang sekaligus memberikan keyakinan kepada rakyat sebagai pengundi.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata kerajaan bersungguh- sungguh melaksanakan RUU tersebut bagi memberikan keadilan saksama kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat mereka.
Katanya, usaha penggubalan rang undang-undang berkenaan adalah satu perkara positif dibuat di bawah kerajaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Bila dalam dewan ahli parlimen tu mewakili diri dia lebih daripada parti, luar dewan dia wakil parti jadi itulah kadang-kadang masalah antara parti dengan pengundi.
"Itu sebabnya kerajaan bercakap tentang lompat parti supaya rakyat tahu ini yang dia undi itu yang dia dapat dan kalau orang itu lompat atas sebab apa kerusi tu dipertandingkan semulalah. Bagi saya itu satu perdekatan yang lebih adillah supaya rakyat tidak rasa tertipu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Bandar Penawar, di sini.
Azalina berkata beliau optimis RUU Anti Lompat Parti dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum PRU-15.
Tambah Azalina, kerajaan hari ini banyak berkompromi untuk melihat perubahan demi memastikan rakyat kekal yakin kepada sistem demokrasi negara.